KLIK! KLIK!

My Anniversary

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, October 14, 2010

Kepentingan Sarapan Pagi


Pagi ni tersangat lah lapar sebab belum breakfast. :(
teringin nak makan nasi lemak yang sedap2...itulah sarapan yang menggemukkan dan boleh membuatkan saya mengantuk.......tapi tetap juga nak makan....




Sarapan or Breakfast, ia adalah waktu pemakanan atau jadual pemakanan paling penting setelah kekurangan tenaga yang telah digunakan pada waktu tidur 5-7 jam. Aku sendiri menggunakan pisang sebagai teman sarapan utama diwaktu pagi sebagai langkah diet kerana pisang mempunyai nutrisi lengkap dalam membekalkan tenaga.

SELAIN faktor banyak makan dan kurang bersenam yang kerap dibincangkan, ramai tidak tahu bahawa tekanan dan jadual makan yang tidak tetap, terutama tidak mengambil sarapan pagi adalah antara dua penyumbang kepada masalah peningkatan berat badan khususnya apabila umur memasuki gerbang 30-an.

Kajian Universiti Harvard ke atas 1,355 lelaki dan wanita (bermula 1995 hingga 2004) mendapati bahawa ukuran pinggang wanita (dan berat badan) dipengaruhi pelbagai punca tekanan, termasuk masalah keluarga, kerjaya, kewangan dan rasa tidak upaya akibat halangan hidup.

Peningkatan berat badan lelaki pula dikaitkan dengan tekanan di tempat kerja, tidak berkuasa untuk membuat keputusan, masalah kewangan (sukar membayar bil) dan kurang kemampuan mempelajari kemahiran baru bagi melaksanakan sesuatu tugas.Peningkatan berat badan ini akan lebih ketara sekiranya mereka sememangnya sudah berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan kerana tekanan psikologi ini akan menyebabkan perubahan tabiat makan pada golongan terbabit. Mereka akan makan banyak atau memilih jenis makanan yang berkalori tinggi sebagai langkah untuk menenangkan perasaan.
Meskipun tidak berlaku kepada semua orang tetapi kebanyakannya menjadikan makanan sebagai ‘ejen penenang’ yang boleh mententeramkan fikiran, terutama jika mereka dapat menikmati makanan yang digemari. Tabiat ini tanpa disedari lama kelamaan boleh menyebabkan berat badan meningkat dan secara tidak langsung akan menambah kepada tekanan yang sedia ada.

Malah, apabila mengalami tekanan psikologi, ramai hilang keinginan untuk bersosial atau melakukan kegiatan aktif seperti sukan atau senaman sedangkan ia adalah antara kaedah yang baik dan sangat berguna untuk menenangkan fikiran. Selain itu, sikap suka meninggalkan sarapan pagi atas alasan tidak sempat, tiada masa atau terlalu sibuk juga terbukti boleh membantutkan usaha untuk mengekal atau mengurangkan berat badan kerana akan menyebabkan berkeinginan untuk makan makanan yang tinggi kalori.

Kumpulan penyelidik dari Kolej Imperial London ketika membentangkan kertas kerja di Mesyuarat Persatuan Endokrin di Washington melaporkan apabila kita meninggalkan sarapan pagi, otak akan menjadi lebih aktif apabila melihat gambar makanan yang tinggi kalori (pilihan yang diberikan kepada peserta kajian ialah piza, kek dan coklat) berbanding sayur-sayuran, ikan dan salad. Peserta sendiri mengakui bahawa mereka lebih tertarik kepada makanan yang berkalori tinggi. Bagaimanapun, apabila ujian sama dilakukan 90 minit selepas bersarapan, otak peserta tidak menunjukkan tarikan ketara terhadap makanan berkalori tinggi. Malah, keinginan untuk makan makanan yang banyak kalori juga jauh lebih rendah berbanding jika tidak bersarapan.

Kenapa sarapan menjadi hidangan yang sangat penting? Sarapan berfungsi menamatkan ‘puasa’ sepanjang enam hingga lapan jam tidur pada waktu malam dan mengembalikan bekalan glukos dan lain-lain khasiat yang digunakan sebagai tenaga sepanjang hari. Sarapan juga sangat penting untuk mengaktifkan fikiran dan badan pada waktu pagi.

Inilah sebabnya orang yang tidak bersarapan biasanya cepat berasa letih, mudah terganggu dan tidak selesa pada waktu pagi. Keadaan ini lebih ketara di kalangan peminum kopi kerana jika tidak bersarapan (dan menikmati segelas kopi) mereka sukar menumpukan perhatian kepada kerja. Sarapan dapat mengawal rasa terlalu lapar, sekali gus mengelakkan kemungkinan makan terlalu banyak ketika makan tengah hari. Badan adalah kilang yang sangat unik dan dapat bertindak sendiri untuk menjimatkan penggunaan tenaga apabila tiada bekalan makanan.

Jika tidak bersarapan, badan secara automatik akan berada dalam fasa ‘puasa lanjutan’ (kerana kita sudah pun dianggap berpuasa ketika tidur) dan cuba menjimatkan tenaga dengan memperlahankan proses pembakaran lemak.Namun, jika kita bersarapan, badan tidak perlu memasuki fasa ‘puasa lanjutan’ ini dan ia secara tidak langsung memberitahu otak bahawa badan bersedia untuk membakar lemak sebagai tenaga bagi kegunaan sepanjang hari.

Kuantiti makanan untuk sarapan bergantung kepada keperluan masing-masing tetapi makanlah secara sederhana. Jika tidak sempat pun, memadailah mengambil segelas susu atau jus oren dan sekeping roti. Makanan seimbang mengandungi protein dan karbohidrat dianggap pilihan terbaik untuk merangsang proses metabolisme. Penemuan itu membuktikan bahawa sarapan amat penting untuk mengekalkan berat badan seimbang dan mengelakkan kegemukan. Lebih baik jika memilih sarapan yang berkhasiat dan menyihatkan. Penyelidik juga mencadangkan sarapan sihat dijadikan antara langkah penting dalam pengurusan berat badan dan rawatan obesiti.

Ini adalah antara langkah mudah untuk mengurangkan peratusan masalah kegemukan dan obesiti di negara kita yang semakin membimbangkan, terutama di kalangan kanak-kanak. Untuk mengelakkan masalah ini daripada membelenggu keluarga (ingat menurunkan berat badan adalah usaha yang sangat payah), mulakan amalan bersarapan bersama seisi keluarga. Ia bukan saja memberi kesan langsung kepada kesihatan badan dan mencerdaskan otak, tetapi mampu merapatkan hubungan kekeluargaan. Lebih awal kita bersarapan, lebih baik. Kajian menunjukkan orang yang bersarapan kurang berkemungkinan mengalami masalah kegemukan. Orang meninggalkan sarapan akan terdorong untuk makan lebih banyak kerana biasanya apabila sampai waktu makan mereka sangat lapar.

Ibu bapa perlu memastikan anak bersarapan sebelum ke sekolah kerana ia meningkatkan kepekaan, daya tumpuan dan prestasi di bilik darjah. Sarapan seringkas sandwic, susu atau bijirin memadai untuk memberi tenaga, memperbaiki emosi dan membantu kepekaan minda.

HARIAN METRO

Abai sarapan boleh gemuk

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN




2 comments:

nasarudin said...

kena serapan dengan oat..lagi cepat serap kolesrtrol

mama wana said...

info dan perkongsian yang menarik. :)